Label

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).” ( Riwayat Imam al Bukhari. Al Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqolani, Fathul Bari, 5:307 )

Antara amalan yang dianjurkan pada 10 hari Zulhijjah antaranya ialah:

  • Melakukan ibadah haji
  • Berpuasa – terutama pada hari kesembilan zulhijjah yakni hari arafah, bagi mereka yang tidak menunaikan haji. Imam Muslim meriwayatkan bahawa ganjaran bagi mereka yang berpuasa pada hari arafah ialah akan diampunkan dosa-dosa mereka setahun yang lepas dan setahun yang akan datang. Ummul Mukminun Hafshah rda berkata: “Adalah Nabi SAW berpuasa pada hari puasa Asyura dan sembilan hari pertama pada Zulhijjah dan tiga hari dalam setiap bulan“. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i Sunan:2332)
  • Membanyakkan takbir, tahmid, tahlil dan selawat ke atas Nabi s.a.w. Takbir Eidul Adha berbeza dengan takbir semasa Eidul Fitri dari segi tempoh masa digalakkan bertakbir. Umat Islam yang tidak menunaikan ibadah haji boleh mula bertakbir untuk Eidul Adha sejak dari subuh Hari Arafah ( 9 Zulhijjah ) sehingga Asar hari ke 13 Zulhijjah. Bagi yang menunaikan haji mereka disunatkan mula bertakbir selepas zohor pada Eidul Adha sehingga Asar 13 Zulhijjah.
  • Melakukan ibadah korban.
  • Mengeratkan silaturrahim dan bersedekah.
  • Mendirikan malam dengan memperbanyakan solat, zikir dan sebagainya.
  • Menyegerakan bertaubat.